|
SELEPAS PERCERAIAN:
APAKAH HAK WANITA YANG PERLU DITUNTUT
Oleh : Ghafani bin Awang Teh
Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai
i. Tuntuan Mutaah
ii. Tuntutan Nafkah Eddah
iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
Anak Antara Bapa Dan Ibu
Bercerai Bersama Anak
Anak Diluar Nikah
iv. Tuntuan Nafkah Anak
v. Tuntutan Harta Sepencarian
vi. Tunggakan Hutang
Prosedur Membuat Tuntutan Hutang
Kesimpulan
Pendahuluan
Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan
:
"Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut
kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan
jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah
kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu
(anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah
antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka
perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya".
( Surah at-Talak : 6 )
Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan
suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan
anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan
isteri.
Hak-Hak Isteri Selepas
Bercerai
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa
tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah :
i. Tuntuan Mutaah
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas
isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari
isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat
mengenai Mutaah:
" Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh
suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi
orang-orang yang bertaqwa".
(Surah Al-Baqarah : 241)
Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
"Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum
kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk
mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati)
kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin
menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi
satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan".
(Surah Al-Baqarah : 236)
Firman Allah swt :
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum
menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah
yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati)
kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya".
(Surah Al-Ahzab : 49)
Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai
dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah
ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami
isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri,
maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan
suami.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam
bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi
Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan
memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut
(suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu)
telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri)
berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.
Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai
pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas
kehendak suami.
Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
-
Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada
pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal
untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
-
Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya
terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada
sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu
bukan berpunca dari bekas isteri.
-
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami
terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.
ii. Tuntutan Nafkah Eddah
Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib
bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie
ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit
getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang
diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu
diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah Nabi
Muhammad saw bersabda,
"Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh
suaminya".
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.
b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak
bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir.
Ini berdasarkan firman Allah swt:
"Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga
mereka melahirkan anaknya".
( Surah At-Talaq: 6)
Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat
nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.
Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan
tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila
berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana
kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan
si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan
menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa
perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat
nafkah eddah.
c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara
talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini
adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammada saw mengulas
mengenai talak tiga ia menyatakan:
"Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah".
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat
nafkah kerana Allah swt berfirman:
"Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman
kamu dari kekayaaan kamu".
(Surah At-Talak : 6)
Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam
eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.
d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami
tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai
perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
"Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami".
(Riwayat Darul-Qutni)
Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang
diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta
peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.
e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami
iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48
menyatakan:
"Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima
nafkah, pakaian dan giliran".
Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi
Besar Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung
dengan tuntutan nafkah eddah menyatakan:
"Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya
berhak mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan
talak rajie atau dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri
tersebut tidak melakukan perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah:
"Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan
yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami
berhak rujuk kepadanya".
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Menurut kitab Al-Fiqhu ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman
Al-Jazini menerangkan :
"Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira
sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung".
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu)
ketika memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan:
"Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi
hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika
tidak dituntut semasa dalam eddah maka hak itu terluput", berdasarkan
pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 85 ;
"Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri
(yang diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan
tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya".
Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal
dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan
syarat-syarat di atas.
iii. Tuntutan Hadhanah
(Hak Jagaan Anak)
Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih
kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak,
melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan
jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat
mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si
anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan
hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan
menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,
"Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan
bertanya: "Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya,
susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah
menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku". Selepas
mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,"Engkaulah yang lebih berhak
menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain".
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan
anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang
perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah
diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini
kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan
lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa
yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang
selalu sibuk dengan tugas di luar.
Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar
Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes
itu menyatakan anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya berdasarkan
hujah kitabKifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 93:
"Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak
dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu
berumur tujuh tahun (mumaiyyiz)".
Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu
syarat sepertimana berikut:
"Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka,
beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang
salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu".
Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Persoalan
yang timbul ialah apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz itu? Sebenarnya
Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. Walau bagaimanapun
menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap
mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun. Apabila pemeliharaan
anak itu dimulai dari ibu maka para Fuqaha mengambil kesimpulan bahawa kerabat
dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu hilang kelayakan
hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas
(butir-buti penuh lihat lampiran ‘A’).
Dalam kes Rugayah lwn Bujang (1987 Jld. VI, I J.H.) Yang Arif Kadi Besar
Wilayah Persekutuan Syeikh Ghazali bin Hj. Abd. Rahman telah memutuskan hak
jagaan anak yang mumaiyyiz adalah diberi pilihan kepada anak-anak itu siapakah
yang ia mahu sama ada tinggal dengan ibu atau bapa dengan berdasarkan sebuah
hadith:
"Bahawa Rasulullah saw telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz
supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal".
(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
"Hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata suami
perempuan itu, "Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya (bererti
suami itu tidak bersetuju cara membuang undi)". Lalu Rasulullah saw menyuruh
anak itu memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: "Ini bapa engkau dan ini
ibu engkau, pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka tinggal
bersama". Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu.
Lalu perempuan itu pun membawa anaknya itu pulang bersama".
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Tirmizi)
Dalam hadith yang lain:
"Seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: "Ya
Rasulullah, suamiku hendak membawa anakku, pada hal anakku sudah pandai mencari
air untukku ke perigi Abu Inabah". Rasulullah menjawab: "Ini ayahmu dan ini
ibumu, peganglah tangan ibumu. Kemudian perempuan itu pergi bersama anaknya".
Ini bermakna anak-anak yang mumaiyyiz diberi pilihan sendiri untuk menentukan
siapa penjaganya sama ada ibu atau bapa. Persoalan yang timbul ialah jika anak
itu berdiam diri? Menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak
itu lebih utama diserahkan kepada ibunya.
Berkata Ibnul-Qaiyim: "Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau
ibunya adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak
tinggal bersama ibunya maka kemaslahatannya lebih terjamin. Maka anak itu
diserahkan kepada ibunya meskipun anak itu memilih bapanya kerana memang pilihan
anak itu belum tepat acap kali tersalah pilih. Selanjutnya Ibnul-Qaiyim berkata:
"Aku dengar gutuku berkata: "Telah berselisih faham dua orang ibu bapa di
hadapan hakim tentang siapa yang akan memelihara anaknya. Kemudian hakim
menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu memilih
bapanya. Berkata ibunya kepada hakim:"Cubalah tuan hakim tanya kepada anak itu
apa sebabnya anak itu memilih bapanya? Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak
itu menjawab: "Ibuku menghantarku ke tempat mengaji Al-Quran tiap-tiap hari dan
guru-guru acap kali memukulku. Manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama
kawan-kawan, sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku". Mendengar demikian,
hakim memutuskan untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan:
"Engkau lebih berhak memelihara anak itu".
Demikian pandangan Ibnu Qaiyim. Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya ýFiqh
As-Sunnah Juz 8 halaman 219 menyatakan: "Sesungguhnya setiap penjaga dan anak
jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak
lebih penting dari hak penjaganya".
Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah
Persekutuan, dianggap belum mumaiyyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi
hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi
hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur
7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur 9 tahun dianggap
mumaiyyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84(2) keputusan yang dibuat oleh
anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan
dengan pilihan anak.
Anak Antara Bapa Dan Ibu
Ulama Syafi’iyah berkata: Apabila anak tersebut lelaki dan ia memilih
ibunya, anak itu boleh tinggal di tempat ibunya pada malam hari, pada
siangnya bapa boleh mengambilnya untuk disekolahkan atau bekerja. Kerana
tujuan mengasuh anak adalah untuk kebaikan. Apabila si anak memilih
bapanya maka anak tinggal bersama bapanya siang malam tetapi tidak boleh
dicegah apabila si anak ingin menjenguk ibunya. Mencegahnya akan
menyebabkan si anak derhaka kepada ibunya dan memutuskan hubungan dengan
ibunya. Apabila si anak sakit maka ibu lebih berhak untuk merawatnya
kerana sakitnya itu menyebabkan si anak seperti anak kecil yang
memerlukan layanan, kerana itu si ibu lebih berhak mengasuhnya.
Apabila anak itu perempuan dan ia memilih salah satu antara dua orang tuanya
maka ia boleh tinggal di tempat orang tua lain, asalkan tidak terlalu
lama. Kerana perceraian antara suami isteri menyebabkan kedua-dua bekas
suami isteri itu tidak sesuai untuk berada di satu tempat. Apabila anak
perempuan itu sakit maka ibunya lebih berhak merawat di rumahnya.
Apabila salah satu orang tuanya sakit sedangkan si anak tidak serumah
dengannya maka si anak tidak boleh dicegah untuk menjenguknya atau untuk
hadir di tempat orang tuanya yang meninggal dunia.
Bercerai Bersama Anak
Ibnu Qaiyim berkata: "Apabila salah seorang antara orang tuanya
berpergian kerana adanya suatu keperluan, tetapi akan kembali dan
lainnya tidak berpergian maka orang yang tidak berpergian lebih berhak
mengasuhnya kerana berpergian dengan membawa anak kecil terutama yang
masih menyusu akan menyusahkan si anak. Apabila salah seorangnya
berpindah untuk menetap di tempat lain sedang tempat yang dituju atau
perjalanannya mengkhuatirkan maka orang tua yang mukim lebih berhak
mengasuhnya. Apabila perjalanannya aman, ada dua pendapat:
-
Bahawa asuhan anak itu diserahkan kepada bapa agar bapa dapat tetap mendidik
anaknya. Pendapat ini adalah juga pendapat Malik dan Syafi’i. Pendapat ini juga
dipraktikkan oleh Qadhi Syuraih.
-
Bahawa ibunya lebih berhak mengasuh anaknya. Pendapat lain mengatakan bahawa
apabila yang pergi itu bapanya maka ibu lebih berhak mengasuhnya. Kalau ibunya
pergi ke daerah asalnya maka ibu itulah yang lebih berhak mengasuhnya. Apabila
si ibu pergi ke tempat lain maka bapanyalah yang lebih berhak mengasuhnya.
Demikianlah pendapat Abu Hanifah.
Pada prinsipnya kita meninjau dan meneliti mana yang paling baik untuk
si anak dan lebih bermanfaat, apakah dapat memelihara dan dapat menjaga
si anak. Anak itu pergi bersama salah seorang antara kedua-dua orang
tuanya ataupun tidak ikut, sama sahaja, asalkan tidak menyebabkan
putusnya hubungan anak dengan orang tuanya. Apabila ada maksudnya
menyusahkan si anak maka si anak tidak boleh diajak pergi.
Anak Diluar Nikah
Kadangkala juga timbul masalah sepasang suami isteri yang pada asalnya
mereka bersekedudukan dan melahirkan anak. Selepas itu mereka kahwin.
Apabila berlaku perceraian, anak itu menjadi bahan rebutan. Persoalan
yang timbul ialah siapakah yang berhak menjaga anak yang tak sah taraf
itu? Menurut Seksyen 85 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah
Persekutuan menyatakan:
"Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan
saudara mara ibu".
Ibu itu yang mengandung dan melahirkannya maka ia berhak menjaga dan
menafkahkannya. Anak di luar nikah dianggap tidak mempunyai bapa. Oleh
itu di luar bidang kuasa lelaki itu untuk membuat tuntutan.
iv. Tuntuan Nafkah Anak
Dalam Islam hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak anak yang
tidak boleh diganggu dan disekat. Hak hidup itu juga bererti menjadi
kewajiban orang tua memelihara dan memberi bekal ilmu kepada anak
sehingga anak itu boleh berdikari. Firman Allah swt:
"Kalau mereka itu (bekas isterimu) menyusukan anakmu maka berilah upah
mereka".
(Surah At-Talak : 6)
Dalam ayat yang lain Allah swt menerangkan:
"Janganlah seseorang itu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan
seorang bapa kerana anaknya dan waris pun berkewajiban demikian".
(Surah Al-Baqarah : 233)
Dari sebuah hadith yang diterangkan oleh Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw
bersabda:
"Hindun pernah bertanya: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami
Hindun) seorang lelaki yang sangat bakhil. Ia tidak pernah memberi belanja
kepadaku yang dapat mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari
hartanya itu, sedangkan ia tidak mengetahuinya". Kemudian Rasulullah saw
menjawab: "Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan
cara yang makruf".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan dalil-dalil di atas ternyata seseorang bapa wajib memberi nafkah
untuk anak-anaknya dengan syarat:
-
Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin
atau sehinga ia ada pekerjaan.
-
Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
-
Bapa itu mampu memberi nafkah.
Apabila anak itu telah baligh dan boleh berdikari maka bapa tidak wajib
lagi memberi nafkah untuk anak itu. Begitu juga jika anak itu
mempunyai harta sendiri meskipun dia masih kecil maka bapa tidak wajib
memberi nafkah kepada anaknya. Pendapat itu adalah sepakat Fuqaha.
Kadangkala terdapat sepasang suami isteri mengambil anak angkat. Persoalan
yang timbul ialah kedudukan nafkah anak angkat jika ibu bapa angkat itu
bercerai. Yang Arif Pemangku Kadi Besar Wilayah Persekutuan Haji Yahya bin Darus
(pada masa itu) ketika memutuskan kes Rokiah lwn Mohamed Idris (1986, Jld. VI, 2
J.H.) menyatakan anak angkat tidak berhak mendapat nafkah dengan alasan firman
Allah swt:
"Panggillah nama-nama mereka, anak-anak angkat itu dengan panggilan
bapa-bapa mereka itu adalah lebih baik di sisi Allah".
(Surah Al-Ahzab : 5)
Dengan bertukar binnya itu bererti tidak tertanggunglah ke atas bapa angkat
nafkah itu. Walau bagaimanpun dalam kes Rosnah lwn Ibrahim (1979, Jld. 1, 2
J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj Zakaria (pada masa
itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak angkat berhak mendapat nafkah
daripada bapa angkatnya selepas perceraian ibu bapa angkat itu kerana anak
angkat itu diambil dengan persetujuan ibu bapa angkat itu. Anak angkat itu
diambil ketika berumur satu hari.
v. Tuntutan Harta Sepencarian
Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang
adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan
dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima
sebagai sebahagaian daripda Undang-Undang Islam di Malaysia.
Dalam Al-Quran ada menyebut:
"Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang
perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan".
(Surah An-Nisaa’ : 32)
Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu
bergantung dari apa yang diusahakan.
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta
sepencarian ditakrifkan sebagai:
"Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan
berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu)
ketika memutuskan kes Piah bt. Said lwn Che Lah bin Awang (1983, Jld. 2 J.H.)
harta sepencarian ditakrifkan:
"Harta yang diperolehi bersama-sama suami isteri itu hidup bersama dan
berusaha, sama ada keuda-dua pasanagan itu sama-sama bekerja dalam bidanag yang
sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi
sama ada dibahagikan tugas atau tidak".
Satu contoh kes di mana sepasang suami isteri memperolehi harta semasa
berkahwin kemudian mereka bercerai. Persoalan yang timbul ialah bagaimana
prinsip harta itu dibahagikan. Menurut Yang Arif Datok wan Ismail bin Mohammad
Salleh ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan kes Anita
binti Abdullah lwqn Zainuddin bin Hj. Ariffin (1982, 4, JH 73) menyatakan:
-
Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu maka hasil itu
terpulang kepadanya;
-
Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka
dikehendaki bersumpah. Apabila bersumpah semuanya, maka harta itu dibahagikan
sama banyak juga. Jika semuanya enggan bersumpah dibahagikan sama banyak juga.
Jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang
bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu
dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.
-
Jika berlaku adat kebiasaaan bahawa salah seorang daripada suami isteri itu
berusaha lebih dari yang lain, maka persetujuan pembahagian hendaklah mengikut
adat kebiasaan itu. Jika persetujuan tidak didapati maka pembahagiannya adalah
seperti (a) dan (b) di atas.
Menurut Ahmad Ibrahim ketika memberi keputusan Lembaga Rayuan Wilayah
Persekutuan bagi kes Mansjur lwn Kamariah (1988, Jld. VI, 2 J.J.)
tentang harta sepencarian menyatakan:
"Apabila timbul pertikaian mengenai kadar pembahagian harta seperncarian,
jika tidak terdapat persetujuan, keputusan diserahkan kepada hakim yang
menggunakan budibicaranya". Ini bermakna hakim akan membuat keputusan
sendiri berdasarkan budi bicaranya".
Persoalan yang timbul ialah bagaimana kedudukan seseorang isteri yang hanya
bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, adakah ia berpeluang menuntut
harta sepencarian? Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhammad (1984, 1
J.H.) telah diputuskan bahawa seorang isteri yang hanya bertugas menolong suami
berhak mendapat harta sepencarian. Fakta kesnya adalah seperti berikut:
Pihak menuntut (isteri) telah menuntut harta sepencarian dari bekas suaminya
separuh dari harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan. Harta-harta itu
termasuk tanah, rumah, perahu, jala ikan dan warung ikan (gerai tempat menjual
ikan). Apabila ia (isteri) berkahwin dengan pihak yang kena tuntut (suami) pihak
yang menuntut telah meninggalkan kerjayanya sebagai pembantu kedai di sebuah
restoren dan bertugas sebagai suri rumah di samping membantu tugas-tugas suami.
Yang Arif Hakim Saleh Abas (ketika itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan:
"Pihak menuntut (isteri) menemani pihak kena tuntut boleh dikira sebagai
usahanya bersama atau sumbangannya memperolehi pendapatan yang mana telah
menghasilkan harta itu. Memang betul bahawa pihak menuntut (isteri) tidak
mengambil bahagian langsung dalam perniagaan ikan dengan pihak kena tuntut
(suami) akan tetapi kesediaannya berdampingan dengan pihak kena tuntut adalah
menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan.
Oleh tu adalah kenyataan perkahwinan mereka dan apa yang mereka berbuat semasa
perkahwinan yang menjadikan harta itu sebagai harta sepencarian".
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang, Yang Arif Hj. Harussani bin Hj. Zakaria
(pada masa itu) ketika memutuskan kes Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978, Jld. 1, 2
J.H.) mengenai harta sepencarian:
"Harta sepencarian diluluskan oleh Syarak atas dasar khidmat dan
perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumahtangga ketika suami keluar
mencari nafkah. Isteri menurut Syarak berhak mendapat orang gaji dalam
menguruskan rumahtangga. Jika tiada orang gaji maka kerja memasak, membasuh dan
mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang
mengurangkan tanggungan suami".
Ini bermakna seseorang suri rumahtangga berhak menuntut harta sepencarian
dari suaminya.
vi. Tunggakan Hutang
Selain daripada itu, seseorang isteri boleh membuat tuntutan hutang ke
atas bekas suaminya jika didapati bekas suaminya tidak membayar mas
kahwin, tidak memberi saraan hidup ketika dalam tempoh perkahwinan,
tunggakan nafkah anak dan sebagainya.
Prosedur Membuat Tuntutan
Hutang
Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut adalah lebih baik menggunakan
peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam,
bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan
itu dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.
Kesimpulan
Sebenarnya cara yang paling baik untuk menyelesaikan hak-hak itu ialah secara
perundingan antara suami dan isteri. Penyelesaian secara rundingan ini
menjimatkan masa, tidak menyusahkan anak-anak dan dapat menjimatkan wang. Jika
tidak ada pilihan lain barulah dibawa ke Mahkamah Syariah.
Apa yang penting ialah hak-hak itu hendaklah dituntut, jika mempunyai alasan
yang cukup. Terdapat kes-kes di mana sebaik sahaja berlaku perceraian si isteri
menunjukkan sikap ego dan sombongnya terhadap suami. Apabila perceraian berlaku
begitu lama barulah menyesal dan mulai bertungkus lumus untuk membuat tuntutan.
Islam adalah agama yang adil dan memberi hak pembelaan yang cukup kepada
kaum wanita. Oleh itu tidak timbul soal Islam menindas kaum wanita. Apa yang ada
ialah wanita Islam itu sendiri bersikap lemah kerana tidak menggunakan
kesempatan yang luas itu untuk kepentngannya.
Lampiran ‘A’
Jika ibu hilang kelayakan maka hak jagaan anak itu berpindah mengikut tertib
seperti berikut:
-
Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
-
Bapa;
-
Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
-
Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
-
Kakak atau adik perempuan seibu;
-
Kakak atau adik perempuan sebapa;
-
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
-
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
-
Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
-
Ibu saudara sebelah ibu;
-
Ibu saudara sebelah bapa;
-
Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari.
|