JANJI
Janji merupakan salah satu perkara biasa dalam kehidupan
seorang insan. Manusia melafazkan sesuatu janji semudah menyebut a,b,c. Janji juga
dilabelakan dengan beberapa frasa atau gelaran khusus seperti 'janji Melayu' dan
sebagainya. Malangnya, kebanyakan manusia kerap mungkir janji sekerap ia berbicara.
Mengapakah terjadinya fonemena ini ?
Islam menganggap janji adalah satu perkara yang besar.
Menunaikan janji adalah tanggungjawab insan. Adalah menjadi satu kesalahan dan berdosa
besar jika janji dimungkiri. Allah telah memasukkan kesalahan mungkir janji sebagai dosa
besar yang perlu dijauhi. Ia juga termasuk dalam kategori ciri-ciri orang munafik.
Apabila kita merenung kepada janji-janji manusia di dalam
al-Quran dan Hadith khususnya golongan kafir atau munafiq, samakah janji mereka dengan
janji-janji orang yang beriman ? Kenapakah mereka dihancurkan dan dijanjikan dengan
neraka?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mungkir
janji !!! (sila lihat ayat 75-77 Surah At-Taubah sebagai contoh).
Sebagaimana manusia berjanji, Allah dan RasulNya turut
berjanji. Tetapi janji Allah dan RasulNya amat jauh bezanya dengan janji insan. Manusia
sering mungkir janji, malah seolah-olah menjadikannya sebagai habit sedangkan janji Allah
dan RasulNya sentiasa benar dan tepat.
Apakah janji Allah dan RasulNya ? Sesungguhnya janji Allah
dan RasulNya terlalu banyak....adalah terlalu mustahil untuk dicatatkan kesemuanya. Di
sini hanya dijelaskan beberapa janji tersebut sebagai renungan kita bersama.
Sebagaimana yang kita ketahui, Islam asalnya agama
terpencil dan lemah. Kerdil di tengah-tengah keperkasan agama berhala ciptaan manusia,
ditindas oleh keangkuhan generasi jahiliyyah, lemas di bawah siksaan dan tekanan
masyarakat Quraisy. Dalam keadaan inilah, Allah dan RasulNya menjanjikan
ketinggian martabat dan kemuliaan maruah di tengah-tengah masyarakat Jahiliyyah dengan
syarat yakin sepenuh hati dan mengamalkan ajaran Islam dengan ikhlas. Janji Allah dan
RasulNya benar-benar terjadi. Umat Islam yang benar-benar ikhlas dan patuh bukan sahaja
berjaya menyebarkan panji-panji Allah bahkan mereka menjadi masyarakat yang mulia,
digeruni dan dihormati di seluruh dunia.
Dalam perang Badar misalnya, bagaiamana jumlah tentera
yang hanya 313 orang dapat mengalahkan 1000 orang walaupun tanpa kelengkapan yang perang
yang sempurna ! Senjata mereka hanyalah iman yang tidak berbelah-bahagi kepada Allah.
Semua ini tidak mustahil asalkan ada pertolongan Allah. Ini janji Allah dan RasulNya.
Benarlah firman Allah dalam kitabnya :
"Sesiapa yang menolong agama Allah, Allah pasti
menolongnya"
Ketika Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke
Madinah, orang kafir dan munafiq telah menghasut orang Islam supaya tidak berhijrah
meningalkan harta, saudara, rakan dan kampung halaman. Menurut mereka, adalah satu
tindakan bodoh meninggalkan harta dan kesenangan di Makkah dan memilih menjadi susah
dan miskin di Madinah. Namun Allah dan RasulNya menjanjikan rezeki dan
kehidupan yang lebih sempurna kepada mereka yang berhijrah.
Firman Allah SWT :
"Orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan
Allah dan orang-orang yang membantu, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Dan
bagi mereka keampunan dan rezeki yang melimpah ruah" At-Taubah :20
Janji Allah dan RasulNya memang benar-benar tepat. Sampai
saja mereka di Madinah, mereka diberikan keistimewaan-keistimewaan yang tidak diduga.
Diberikan harta, dihadiahkan isteri, dipinjamkan modal, dilayan seperti menteri, dijadikan
rakan koprat dan dibantu serba-serbi. Saidina Abdul Rahman Bin Auf menjadi jutawan selepas
berhijrah ke Madinah, hamba menjadi merdeka, golongan fakir semakin berkurangan dan hidup
mereka aman damai, tiada siksaan tiada penindasan. Inilah janji Allah dan
RasulNya, janji yang pasti !!!
Ketika dalam perjalanan hijrah, Rasulullah SAW dan Saidina
Abu Bakar telah berjaya dikesan oleh salah seorang panglima Quraisy yang bernama Suraqah
b. Malik. Pihak Quraisy menghadiah ribuan ekor unta kepada mereka yang dapat menangkap
atau membunuh Rasulullah. Ketika beliau menghampiri Rasulullah SAW dan Abu Bakar,
tiba-tiba kudanya terpesorok ke dalam tanah. Setelah dikeluarkan kaki kudanya dari tanah
tadi, beliau terus menyerbu ke arah Rasulullah, tetapi keadaan yang sama telah belaku
semula. Diulangnya beberapa kali dan setiap kali keadaan yang sama tetap berlaku.
Lalu Rasulullah mendakwahnya dengan Islam. Baginda
berjanji menghadiahkannya dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi jika Suraqah masuk
Islam.Bayangkan pada masa itu baginda baru hendak berhijrah ke Madinah dan agama Islam
masih kerdil, sedangkan kerajaan Parsi pada masa itu adalah satu kuasa dunia !
Perbezaannya seperti langit dengan bumi. Tetapi Rasulullah tetap yakin dengan masa
depan Islam bahawa Islam akan berkuasa, maka beliau berani menjanjikannya kepada Suraqah.
Janji Rasulullah SAW memang benar. Kerajaan Parsi akhirnya
jatuh ke tangan tentera Islam di zaman Khalifah Umar Al-Khatab. Saidina Umar dengan
linangan airmata kegembiraan dan tanda terharu betapa benarnya janji Allah dan RasulNya
menyerahkan gelang kebesaran kerajaan Parsi tersebut kepada Suraqah b Malik sambil berkata
:
"Alhamdulillah yang merampasnya (gelang kebesaran)
dari Kisra (maharaja) yang mengaku dirinya tuhan dan memakainya kepada Suraqah bin
Malik".
Seterusnya Rasulullah berjanji bahawa Islam akan dapat
menawan Konstantinople (sekarang dikenali sebagai Istanbul di
Turki). Konstantinople adalah bandar strategik kerana ia merupakan jalan masuk ke Eropah.
Sesiapa yang menguasainya bermakna menguasai Asia dan Eropah sekaligus. Baginda juga
memberi pengiktirafan kepada tentera yang berjaya menawannya sebagai tentera terbaik
dan pemimpinnya merupakan pemimpin yang terbaik. Janji Rasulullah SAW tidak pernah
dimungkiri, semuanya tetap berlaku. Sultan Muhammad Al-Fatih telah berjaya menawan
Konstantinople dan sekaligus merancakkan lagi penyebaran agama Islam ke benua Eropah.
Jelas, janji-janji Allah dan Rasulnya memang tepat dan
dikotakan. Sesungguhnya di sana terdapat janji Allah yang lebih besar dan penting kepada
kehidupan insan. Janji yang pasti !!! Allah dan RasulNya telah menjanjikan kehidupan di
dunia dan akhirat yang gemilang bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan
kehidupan yang sukar di qubur dan neraka bagi mereka yang ingkar.
Apakah tindakan kita ke arah itu
? Percayakah kita kepada janji Allah tersebut ? Buktikannya dengan teori dan praktikal !!!
Kenapakah kita terlalu kedekut untuk membeli pahala yang dijanjikan oleh
Allah ? Apakah kita 'segan' untuk mendiami Syurga Allah ? atau lebih
selesa tinggal di neraka ? Kita suka kubur yang luaskah atau yang sempit ?