|
Khalid Al-Walid
Pedang Allah
Perang Uhud dan Perang Muktah adalah dua keadaan yang berbeza
sebagaimana berbezanya peribadi Khalid bin Al-Walid. Dalam perang Uhud, beliau adalah
panglima Quraisy yang berjaya mengalahkan mujahid-mujahid Islam tetapi perang Muktah
menampakkan penampilan Khalid Al-Walid yang baru
.Beliau adalah hero penyelamat di
saat ambang kekalahan tentera Islam, ini membuktikan bahawa beliau memang layak
dikurniakan anugerah tertinggi panglima tentera iaitu anugerah 'Pedang Allah'
Semasa belum memeluk Islam, beliau adalah musuh Islam yang paling
digeruni di medan perang kerana strategi perangnya yang hebat di mana umat Islam telah
mendapat pengajaran yang cukup hebat ketika perang Uhud dahulu.
Khalid al-Walid telah memeluk Islam pada bulan Safar tahun 8H
bersama-sama Uthman b Talhah dan Amru b Al-As. Setelah itu, beliau adalah pahlawan yang
berjuang menentang orang-orang yang menentang Rasulullah SAW.
Berbicara tentang Khalid, tentunya tidak lengkap kalau tidak
menceritakan tentang peristiwa dalam peperangan Muktah yang memang terkenal itu.
Dalam Perang Muktah, tentera Islam yang sedikit
bilangannya telah berdepan dengan lebih kurang 200,000 orang tentera Rom. Dalam
pertempuran tersebut, tentera Islam telah mendapat tentangan yang cukup dahsyat
nyaris-nyaris menerima kekalahan. Bendera Islam telah dipegang oleh Zaid b
Harithah yang kemudiannya gugur syahid, diambilalih pula oleh Jaafar bin
Abu Thalib. Beliau turut syahid, maka bendera tadi dipegang oleh Abdullah
bin Rawahah yang juga gugur sebagai syuhada'. Lantas bendera bertukartangan
kepada Thabit bin Arqam dan menyerahkannya kepada Khalid al-Walid. Atas
persetujuan ramai, maka Khalid al-Walidpun menjadi komandan perang dan terus mengarahkan
tentera Islam berundur ke Madinah kerana sudah terlalu ramai yang syahid dan tentera yang
tinggal tidak mampu untuk bertahan lagi.
Di zaman Khalifah Abu Bakar, Khalid
ditugaskan untuk mengahpuskan golongan murtad. Saidina Abu Bakar telah memberi pidato
semangat kepada tentera Islam yang antara lainnya berbunyi :"Aku pernah mendengar
Rasulullah SAW bersabda : "Sebaik-baik hamba Allah dan saudara dalam satu
suku iaitu Khalid b Al-Walid, Saifullah, yang pedangnya akan dihayunkan kepada orang-orang
kafir dan munafik"
Beliau juga ditugaskan untuk membunuh
Musailamah Al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi dan mempunyai ramai pengikutnya. Dalam
peperangan tersebut (Perang Yamamah), ramai tentera Islam yang terkorban.
Khalid All-Walid sebagai pahlawan sejati yang pakar dalam strategi peperangan telah
berjaya memberi semangat baru kepada tenteranya dengan ucapannya yang penuh karisma.
Beliau berteriak kepada tenteranya : "Bergembiralah kerana kami akan melihat setiap
orang akan mengalami bencana masing-masing"
Dalam Perang Yarmuk
menentang tentera Rom, beliau telah berjumpa dengan panglima musuh yang bernama Mahan yang
dengan angkuhnya merendah-rendahkan moral tentera Islam. Mahan telah berkata : "Aku
tahu kamu semua meninggalkan tanah air kerana terpaksa dan kelaparan. Jika kamu semua
setuju, aku akan berikan setiap seorang tentera 10 dinar beserta dengan pakaian dan
makanan dengan syarat mereka berangkat pulang dan tahun depan jumlah yang serupa akan
dihantar ke Madinah".
Khalid b Al-Walid dengan tegasnya menjawab
: "Kami tidak akan keluar dari negeri kami kerana kelaparan seperti yang engkau
sangkakan. Tetapi kami ialah satu kaum yang suka minum darah dan kami tahu tidak ada darah
yang lebih lazat dan nikmat seperti darah orang Romawi, sebab itulah kami ke mari"
Setelah itu, Khalid Al-Walid selaku
komandan perang beerteriak dengan kuatnya sambil bertakbir "Allahu
Akbar" "Marilah kita berebut-rebut mencium bau Syurga". Maka
terjadilah peperangan yang amat dahsyat. Anak panah bersimpang siur dan mayat
bergelimpangan.
Tiba-tiba seorang tentera Islam menghampiri
Abu Ubaidah b al-Jarrah r.a.sambil berkata : "Sesungguhnya aku bercita-cita untuk
mati syahid, adakah engkau mempunyai sebarang pesanan yang hendak disampaikan kepada
Rasulullah SAW, kelak aku akan sampaikan kepada baginda ketika aku berjumpanya (di
Syurga)"
Jawab Abu Ubaidah b al-Jarrah r.a :
"Ya ! Katakan kepadanya : "Wahai Rasulullah SAW ! Sesungguhnya kami telah dapati
bahawa apa yang dijanjikan oleh Tuhan Kami (Allah) adalah benar". Lalu tentera tadi
bertempur dengan hebatnya dan gugur sebagai syuhada'.
Dalam suasana perang tersebut Khalid
al-Walid bersemuka dengan seorang daripada panglima Romawi yang bernama George lalu
terjadilah dialog antara keduanya.
George bertanya : "Wahai
Khalid, hendaklah kamu berkata benar kerana setiap orang yang merdeka tidak akan
berbohong. Apakah benar bahawa Tuhanmu telah menurunkan kepada Nabimu sebilah pedang dari
langit lalu diberikan kepadamu dan kalau dihayunkan kepada seseorang pasti dia akan
kalah"
Khalid b Al-Walid menjawab :
"Tidak"
George bertanya lagi : "Mengapa kamu
disebut Pedang Allah ?"
Khalid b Al-Walid berkata : "Bahawa
Allah SWT telah mengutuskan kepada kami seorang Rasul dari bangsa kami, tetapi ada yang
mempercayainya dan ada yang mendustanya. Aku sendiri termasuk dari kalangan orang yang
mendustakannya tetapi Allah telah membuka hatiku kepada Islam. Lalu aku mengadap
Rasulullah untuk memeluk Islam dan janji setia kepadanya. Rasulullah terus menyatakan :
"Engkau adalah sebilah pedang dari pedang Allah"
George bertanya lagi : "Apa yang kamu
dakwahkan kepada manusia"
Khalid b Al-Walid menjelaskan :
"Supaya mereka mentauhidkan Allah dan menerima ajaran Islam"
George seterusnya berkata : "Jika
seseorang memeluk Islam sekarang seperti apa yang telah berlaku kepadamu, adakah dia akan
mendapat ganjaran ?"
Khalid b Al-Walid menjawab : "Ya,
itulah yang lebih utama"
George berkata : "Bagaimana yang
terjadi kepadamu sebelum Islam ?"
Khalid b Al-Walid menjawab : "Kamu
hidup bersama Rasul lalu kami lihat tanda-tanda kenabian serta mukjizatnya. Kami
benar-benar melihat dan mendengarnya, lalu kami memeluk Islam dengan mudah. Tetapi kamu
tidak pernah melihat dan mendengarnya, kiranya kamu beriman dengan apa yang tidak
kelihatan, maka ganjaranmu adalah lebih besar jika kamu beriman kepada Allah dengan
jiwamu"
Akhirnya George telah mengucap syahadah di
hadapan Khalid, belajar cara solat dan sempat solat dua rakaat. Kemudian beliau adalah
seorang syuhada' perang Yarmuk............. !!! dan tentera Islam berjaya menumbangkan
tentera Rom yang berjumlah 240,00 orang.
Ramai di kalangan tentera Islam yang syahid
dan tidak kurang pula yang sakit, luka dan cedera. Mereka yang cedera parah, apabila
seorang diberikan air, lantas dia berkata rakannya di sebelah lebih memerlukan. Lalu
diberikan kepada rakannya, tiba-tiba orang yang keduapun bersikap serupa, lebih
mementingkan rakan yang lain..........begitulah seterusnya sehinggakan orang memberi air
berpusing-pusing di antara mereka tetapi belum ada yang sudi meminumnya...Maka, kesemua
mereka mati syahid di medang perang tersebut ! Ini membuktikan betapa wujudnya
perasaan kasih kepada saudara seperti kasih kepada diri sendiri memang menjadi amalan
mereka sebagaimana yang ditarbiahkan oleh Rasulullah SAW.
|