|
KHALIFAH UMAR AL-KHATAB
Umar
Al-Faruq
Biodata
Nama sebenar : Umar b Al-Khattab b Nufail b Abdul Uzza
b Ribaah b Abdillah b Qarth b Razaah b 'Adi b Kaab
Nama Ibu : Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah
bin Abdillah bin Umar bin Makhzum.
Gelaran : Al-Faruq
Keturunan : Arab Quraisy (Kabilah Bani Adi)
Tarikh lahir : 13 tahun selepas berlakunya
peristiwa Abrahah (menurut Imam Nawawi)
Jawatan : Khalifah Ar-Rasyidin Kedua
Tarikh Lantikan : 634M
Tempoh Jawatan : 10 tahun
Tarikh M/Dunia : 23H @ 644M
Umur : 63 tahun
Semasa sebelum
memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya
terutama untuk mengadakan perundingan antara kabilah
yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW
apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte
Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh
Rasulullah SAW. .
Sifat Peribadi Umar al-Khattab
Ubaidullah bin
Umar menceritakan bahawa suatu hari para sahabat melihat
Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya
: "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang
memikul air ini ?" Jawab
Umar
al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah
takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk
menundukkannya"
Kata Aslam
beberapa orang berbicara dengan Abdul Rahman bin Auf.
Kata mereka : "Umar al-Khattab telah menimbulkan rasa
takut kami sehingga mata kami tidak berani bertentangan
mata dengannya". Hal ini diadukan oleh Abdul Rahman bin
Auf. Lalu Umar al-Khattab berkata : "Benarkah mereka
berkata demikian ?" "Demi Allah, saya telah cuba
melunakkannya, sehingga lantaran lunak saya itu saya
takut dimarahi Allah. Saya cuba pula dengan sikap keras
sehingga saya takut Allah marah kepada saya.
Bagaimanakah lagi ? Bagaimana nasib saya yang berbeza
dengan mereka ?"
Diriwayatkan
oleh Umar bin Murrah bahawa seorang lelaki bertemu
dengan Umar al-Khattab dan berkata : "Bersikap lunaklah
kepada kami, sebab kami amat gentar melihatmu !" Umar
menjawab : "Adakah saya berbuat sesuatu yang zalim ? "
Jawab lelaki itu : "Tidak" Kata Umar lagi : "Kalau
begitu, biarlah Allah menambah rasa takut dalam hatimu
terhadapku"
Menurut
Barrak bin Makrur : "Pada suatu hari Umar al-Khattab
naik ke mimbar untuk memberi tazkirah, tiba-tiba dia
merasa sakit. Menurut para jamaah, ubatnya adalah madu
lebah dan di Baitulmal banyak tersimpan madu lebah" Kata
beliau : "Kalau tuan-tuan izinkan, saya akan gunakannya,
tetapi kalau tidak diizinkan haram ke atas saya
mengambilnya"
Keislaman Saidina Umar
Beliau
memeluk Islam pada tahun ke 6 kenabian ketika berumur 27
tahun. Tindakannnya ini mengemparkan masyarakat Quraisy
dan memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa
Islam akan menjadi kuat.
Rasulullah SAW pernah berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam
dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam" Hadtih
riwayat At-Thabarani
Dalam sebuah
hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa
Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan
Islam dengan Umar Al-Khatab"
Sebuah hadith
dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa
Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam,
Jibrilpun datang dan berkata : "Ya Muhammad,
sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan
islamnya Umar"
Setelah memeluk
Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai
Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara
yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat
bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar
menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada
Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam
kebenaran ?"
Jawab Rasulullah
SAW : "Benar"
Aku berkata lagi
: "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"
Kemudian kami
masuk ke Masjidil Haram membuat dua syaf, satu saya dan
satu lagi Saidina Hamzah (berjemaah). Maka semua orang
KAFFIR Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan
perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka
terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku
Al-Faruq !
Dengan islamnya
Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa
ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara
terang-terangan di BaitulLah khususnya setelah
peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy
juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang
beribadah kerana takut kepada Umar.
Keberanian Umar
Peristiwa yang
menarik perhatian kafir Quraisy Makkah ialah apabila
Saidina Umar Al-Khattab mengambil langkah untuk
berhijrah secara terang-terangan, berbeza dengan
pendirian para sahabat yang lain yang terpaksa berhijrah
secara rahsia.
Umar Al-Khattab terkenal sebagai seorang yang berani
semasa kafir dan bertambah berani sesudah beriman.
Pada detik-detik terakhir sebelum meninggalkan kota
Makkah untuk berhijrah ke Madinah, Saidina Ali r.a. yang
menyaksikan peristiwa tersebut, meriwayatkan: Setelah
saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau
mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya,
kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut
dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya
dan melangkahkan kaki menuju ke Kaa'bah. Ketika itu
tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Ka'abah
menyaksikan kehadiran Umar.
Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh
semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh
kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai
melakukan tawaf, beliau menuju ke Maqam Ibrahim dan
mendirikan solat.
Selesai solat, Umar berdiri di sisi Maqam Ibrahim sambil
mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap
puak kuffar Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT
tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini,
kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama
Allah."
Kata Umar lagi: "Barangsiapa yang sanggup menjadikan
ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan
anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian
bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi
balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di
sebalik bukit ini."
Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang
menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu,
ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka.
Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat
dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani
menyahut cabaran Umar berlawan senjata.
Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy
dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati,
menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu
tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai
puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan
puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajaknya adu
senjata.
Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu
berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan
kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak
Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu
rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari
kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak
terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka
semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah
bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang
gangguan.
Berikutan dari peristiwa itu, maka kaum muslimin Makkah
telah menyahut seruan hijrah. Sehingga tiada lagi para
penyokong Nabi s.a.w. yang tinggal di Makkah, kecuali
Nabi s.a.w., Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Saidina Ali
bin Abi Talib, selain itu orang-orang yang sakit, mereka
yang tidak kenderaan dan keupayaan berhijrah dan mereka
yang dikenakan tahanan oleh pihak Quraisy, akibat
tindakan mereka menyahut seruan Islam
Hadith
tentang Umar
1. Semasa tidur,
aku bermimpi bahawa aku berada dalam Syurga. aku lihat
seorang perempuan sedang berwudhuk dekat sebuah istana.
Aku bertanya untuk siapa istana ini. Katanya : Untuk
Umar" Hadith riwayat Shiekhaini (Bukhari dan Muslim)
2. Sesungguhnya
Allah menjadikan lidah dan hati Umar itu di atas
kebenaran. Hadith riwayat At-Turmizi
3. Sekiranya
selepas aku ada nabi, sudah pasti Umarlah orangnya.
Hadith riwayat At-Turmizi
4. Sesungguhnya
aku lihat syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia
lari lintang pukang dari Umar. Hadith riwayat At-Turmizi
5. Umar cahaya
bagi penduduk Syurga.
6. Semua malaikat
di langit menyayangi Umar dan semua syaitan di dunia
melarikan diri dari Umar
7. Sesungguhnya
ada seseorang di kalangan umat sebelum kamu yang menjadi
sebutan ramai (kerana kebaikannya), jika perkara ini
terjadi dalam umat Islam, sudah tentu Umarlah orangnya.
Hadith riwayat Bukhari.
8. Tidak ada
sesuatu perkara yang diperkatakan oleh orang ramai dan
kemudian diperkatakan oleh Umar, nescaya turunlah
al-Quran sebagaimana yang dilafazkan oleh mulut Umar.
(Kata-kata Abdullah bin Umar)
Umar
Sebagai Orang Yang Pertama
1. Pertama
digelar Amirul Mukminin
2. Pertama menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam
3. Pertama mengenakan pukulan 80 kali ke atas peminum
arak
4. Pertama mengharamkan nikah mut'ah
5. Pertama mewajibkan zakat ke atas kuda
6. Pertama menubuhkan jabatan-jabatan
7. Pertama sunatkan Qiyyam Ramadhan
8. Pertama mengarahkan solat Jenazah berjemaah dengan 4
takbir
9. Pertama memperkenalkan Al-'Aul dalam masalah Faraid
(harta pusaka)
Umar
Dan Al-Quran
Saidina Umar
Al-Khattab mempunyai pemikiran yang sangat hebat.
Beberapa pendapatnya merupakan sebab turunnya al-Quran.
Di antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sempena
pendapat beliau ialah :
1) Kisah
tawanan Badar - ayat 28 Surah Al-Anfal
2) Ayat Menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat -
Ayat 125 Surah Al-Baqarah
3) Ayat Hijab - Ayat 53 Surah Al-Ahzab
4) Ayat tentang asal-usul kejadian manusia - Ayat 12
Surah Al-Mukminun
>5) Ayat tentang arak - Ayat 219 Surah Al-Baqarah
dan Ayat 43 Surah An-Nisa'
6) Ayat Larangan Mensolati Jenazah Orang Munafiq - Ayat
84 Surah At-Taubah
7) Kisah orang Munafiq - Ayat 6 Surah Al-Munafiqun
8) Ayat 5 Surah Al-Anfal
9) Ayat 16 Surah An-Nur
10) Ayat tentang penghalalan jima' di malam bulan
Ramadhan - Ayat 187 Surah Al-Baqarah
11) Ayat 97 Surah Al-Baqarah
12) Ayat 65 Surah An-Nisa'
13) ayat 13 Surah Al-Waqiah
|