|
SALAHUDDIN AL-AYYUBI
Salahuddin Al-Ayyubi adalah seorang pahlawan dan raja
yang gagah berani. Beliau terkenal dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa
sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang memang terkenal dengan kezaliman dan
keperkasaannya.
Beliau dilahirkan pada tahun 1138M. Ayahnya keturunan
Kurdistan. Salahuddin telah berjinak-jinak dengan peperangan apabila telah meningkat
dewasa. Beliau sempat berperang di Mesir bersama dengan Shirkuh, bapa saudaranya di bawah
panji Kerajaan Fatimiyyah.
Pada tahun 1169, Shirkuh telah dilantik sebagai wazir
(menteri) di bawah naungan Kerajaan Fatimiyyah. Kemudian Salahuddin telah dilantik sebagai
wazir apabila bapa saudaranya meninggal dunia. Beliau telah berjaya memadamkan
pemberontakan dalam negeri dan turut berjaya menumpaskan serangan pihak Frank dan
Byzantine yang cuba hendak menakluk Kaherah.
Akhirnya beliau menjadi Raja Mesir pada tahun 1175
mengantikan raja terakhir dari dinasti Fatimiyyah yang mangkat dan diiktiraf oleh Khalifah
di Baghdad sebagai pemerintah Mesir yang sah setahun kemudian. Beliau
memakai gelaran Sultan Al-Malikun Nasir.
Pada tahun 1187 berlakulah Perang Salib di antara tentera
Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi dengan tentera Kristian yang diketuai oleh
King Richard (Raja England) setelah beberapa tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak
Kristian. Mereka bukan sahaja mengancam negara-negara Islam, malah telah merampas beberapa
wilayah umat Islam di Baitul Muqaddis dan dijadikan negeri-negeri Kristian.
Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya
merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayyubi
telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim
semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui. Beliau telah memberi
perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib
dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis.
Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau
bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192.
Keperibadian
Pada suatu hari, ketika Sultan Salahuddin berjalan-jalan di
kota Baitul Muqaddis, beliau telah berjumpa dengan seorang lelaki tua Nasrani (Kristian).
Lalu lelaki tua tersebut bertanya kepada beliau : "Wahai pahlawan agung !
Sesungguhnya tuan telah berjaya mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi mengapakah tuan tidak
membalas seperti tindakan yang dikenakan ke atas tentera-tentera tuan ?"
Jawab Salahuddin : "Wahai orang tua ! Agama kami
melarang menyiksa manusia. Bahkan hati kecil sayapun melarang melakukan pembalasan yang
luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah mereka lakukan"
Orang tua itu berkata lagi : "Apakah agama tuan
melarang melakukan pembalasan terhadap orang yang memulakan pemusuhan dan menyiksa kaum
tuan"
Jawab Salahuddin seterusnya : "Memang benar ! Agama
yang saya anuti ini melarang perbuatan kejam seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh kami.
"
Tambah beliau : "Islam meyuruh kami menepati janji,
memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa
"
Orang tua itu berkata lagi : "Alangkah indahnya agama
tuan !" Saya sangat ingin agar sisa-sisa hidup saya ini dapat menikmati kehidupan
yang bahagia". "Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang
mulia ini "
Jawab Salahuddin seterusnya : "Mempercayai bahawa
Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu RasulNya. Kemudian kerjakan apa yang Allah perintahkan
dan tinggalkan apa yang dilarangNya".
Setelah itu, lelaki itu terus mengucap dua kalimah syahadah
tanpa berbelah bahagi
|