|
PUASA MENYIHATKAN
BADAN
BERPUASA Ramadan bukan sekadar menahan diri
daripada makan dan minum pada waktu siang, malah lebih daripada itu mengajar
umat Islam supaya mengawal nafsu daripada perkara dilarang syariat dan boleh
memudaratkan.
Bagi tujuan itu, Islam menetapkan adab ketika berpuasa supaya ibadat mereka
itu mendapat keberkatan dan mencapai tujuannya. Adab itu juga seiring dari
segi perubatan dan kesihatan.
Dari segi perubatan atau kesihatan cara puasa yang tidak berkesan seperti:
·
Makan terlalu banyak sewaktu sahur dan berbuka.
·
Makan terlalu banyak daging, terutama bagi penghidap batu karang, gout dan
alahan.
·
Mengulangi makanan sepanjang malam.
·
Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
·
Tidur selepas kenyang makan.
Amalan yang seperti di atas boleh mengikis manfaat dan tujuan berpuasa.
Mereka juga akan berasa letih dan mungkin mengalami pelbagai masalah
kesihatan daripada amalan itu.
Puasa berjaya adalah yang diamalkan mengikut sunnah Rasulullah. Puasa
berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan
diperbaharui!
Apa yang di perlukan ialah kawalan yang baik sewaktu berbuka dan bersahur.
Ketika berbuka, sebaiknya makanlah makanan yang senang hadam, mengandungi
serat dan dalam kadar sedikit. Amalan Rasulullah memakan tamar adalah baik
sebab ia mengandungi karbohidrat tinggi, di samping asid amino, antaranya
triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.
Untuk mengawal apa yang dimakan, perlulah bersederhana dalam menghidang
juadah berbuka atau bersahur. Jika banyak yang dihidang dengan aneka jenis
dan rasa, tentulah sukar untuk mengawal apa yang ada di depan mata. Ambil
peluang bulan puasa ini untuk berjimat belanja, hadkan jenis dan makanan.
Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum daripada bahan semula
jadi. Elakkan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan dan gantikan ia
dengan gula merah, madu lebah dan jus buah asli.
Sediakan air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selasih
serta getah anggur. Ini kerana makanan ini mencuci usus dan menyenangkan
buang air besar.
Elakkan juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh
memberi terlalu banyak rangsangan kepada saraf dan jantung ketika berpuasa.
Kafein juga memberi rangsangan kepada bahagian perut yang menyebabkan asid
hidroklorik berlebihan dan ini akan menyebabkan keadaan gastritis.
Protein binatang adalah makanan yang paling kompleks dan susah hadam. Ia
juga makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak.
Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein
binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan kimia dan pelbagai jenis
racun, termasuk kuman, hormon, antibiotik dan logam berat serta racun
serangga.
Oleh kerana antara manfaat puasa ialah
bahawa badan dapat mengeluarkan bahan racun yang kian lama terselit dalam
lemak, daging, hati dan buah pinggang, wajar kita meminimumkan memakan
protein haiwan ketika berpuasa.
Protein haiwan boleh digantikan dengan protein sayur dalam bentuk kekacang
seperti kacang dal, soya, hijau dan merah, walaupun protein dalamnya tidak
lengkap. Dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan,
ia akan melengkapkan antara satu sama lain.
Puasa yang berjaya dari segi kesihatan melalui tiga fasa iaitu:-
·
Fasa pertama (dua hingga tiga hari)
– Perut lapar, badan letih dan cepat marah (kadar glukos dalam darah rendah).
Pada fasa pertama inilah orang berpuasa terasa amat terduga dan paling susah
hendak dilalui. Ini kerana pada masa ini, badan belum terbiasa dengan
keadaan perut kosong dan rutin baru yang diamalkannya.
·
Fasa asidosis. (tiga hingga 14 hari)
– Kurang selera makan, nafas berbau, lidah menjadi ‘putih’ atau ‘berdaki’,
badan lesu.
Fasa ini tidak berapa terkesan sebab cara puasa yang diamalkan ialah puasa
separuh masa dan makan minum separuh masa. Jika kita terlalu sedikit makan,
fasa ini akan dikesan dengan nyata.
·
Fasa ketiga (14 hari hingga akhir puasa )
– Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula
pulih dan kadar glukos kembali normal.
Pada fasa ini, mental, emosi dan badan semakin ‘optimum’ dan anda menjadi
seperti orang baru.
Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal
makan dan minum supaya proses ‘asidosis dan ketosis’ dalam badan berjalan
lancar.
Wali Allah mencapai peringkat spiritual yang tinggi kerana ketajaman ‘mata
hati’ mereka kerana puasa yang mencapai matlamatnya.
|