| |
SAHUR
BERSAHUR
adalah amalan penting pada Ramadan. Bagi mereka yang hanya mengkaji ilmu
fikah akan berkata: “Oh, bersahur hukumnya adalah sunat saja.” Andai kata
hukum ini dikaitkan dengan hadis sahih, kita akan menyedari betapa
pentingnya sahur ini walaupun hukumnya adalah sunat.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
قَال َقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
تَسَحَّرُوا
فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً
Dari Anas RA, Rasulullah saw bersabda
yang bermaksud : “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Hadis
riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).
Melalui hadis
ini, amalan bersahur dikaitkan dengan keberkatan dan keberkatan pula membawa
makna rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.
Amalan bangun sahur ini
membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani
(ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim, yang bermaksud :
عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ
أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ
السُّحُورِ
“Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa
ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.” Hadis
riwayat an-Nasaie.
Sahur adalah satu rahmat dan berkat
yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat
dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Bersahurlah, sekalipun dengan
seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa
walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk
air.
Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti
sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan
selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke
atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).
عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم : « نعم سحور المؤمن التمر »
Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu
bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam
Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa
umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan
mengakhirkan makan sahurnya.”
Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ
زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ حَدَّثَهُ
أَنَّهُمْ
تَسَحَّرُوا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ
قَدْرُ خَمْسِينَ أَوْ سِتِّينَ يَعْنِي آيَةً
Dari Anas bin Malik RA bahawa Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur
bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh) dan
kadarnya (di antara sahur dan solat subuh) adalah menyamai bacaan 50 atau 60
ayat al-Quran.
Hadis riwayat al-Bukhari
Zaid ditanya : “Berapa lama
masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?”
Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa
hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan
sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir.
Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan
lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan
makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.
BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk
memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain.
Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard,
mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk,
sakit jantung dan menghidap kencing manis.
Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi
menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan
berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan
pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini
kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif
disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas
bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi,
kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.
Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej
Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan
mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami
kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit
anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini
dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak
akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu.
Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu
sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, Mahukah aku khabarkan kepadamu apa
yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, ada
syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka
kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta
mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
(Iaitu) orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman,
maka ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka.
(Merekalah) orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan
hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun pada waktu sahur.”
(Surah Ali Imran, ayat 15 hingga 17)
“Perbezaan di
antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya
makan sahur.” Hadis Riwayat Muslim
“Bersahurlah, sekalipun dengan seteguk
air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
“Sesungguhnya Allah dan
malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan
keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat
At-Tabrani). |
|