KISAH PEMUDA YANG BERNAMA 'UZAIR
Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang
menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik
untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia
pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga
keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa
dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari
negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung
itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali. Di
tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah
busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari
keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di
situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi
melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah
busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu
akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang
datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan
kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah
(roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan
hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama
seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah
ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa
seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur
tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya
sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan
tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing
lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu. 'Uzair
terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan
buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat
seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya
tertidur sehari dua ataupun setengah hari."
Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa engkau
terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan
berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik.
Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat
keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah
sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang
sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu
pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk
diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau
supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia
lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang
diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah
hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah
berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu
dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala
iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun
berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya."
Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya
dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah
berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah
menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia
sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya
telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak
seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah
'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi
sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya
selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas.
"Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah
dihidupkan oleh Allah kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu
dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu
dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit
tenat." Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua
dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah
tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan
dapat melihat tuan."
"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit
lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat
dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali
muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya
masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi
mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair
yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi
ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu
menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji
kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya
masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu.
Kalau ada benarlah dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah
sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata,
maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas
bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka
tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau
benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan
fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka
percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya
bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di antara
mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan
daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai
anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana
semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah,
maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu
benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang
ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan
memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.