Kemudaratan hendaklah dihapuskan

Kaedah Pertama

الضَّرَرُ يُزَال

ُ
Kaedah ini membawa pengertian bahawa kemudaratan itu harus dihilangkan dengan makna kemudaratan yang telah terjadi. Apabila keadaan demikian berlaku maka ia wajib dihilangkan. Kaedah ini juga membawa maksud sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya mestilah dihapuskan dan perkara yang merbahaya itu juga hendaklah dihilangkan sama. Dalil asas kepada kaedah ini ialah sabda Rasulullah SAW :

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya : Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan.

            Justeru itu, tidak boleh sama sekali melakukan kerosakan dan kemudaratan terhadap diri sendiri, lebih-lebih lagi terhadap orang lain. Lantaran itulah dalam keadaan tersebut, ia wajib dihindarkan sama ada kemudaratan tersebut berkait dengan hak umum atau pun khusus. Sebagai rumusannya, seseorang insane itu tidak boleh sama sekali melakukan kemudaratan terhadap saudaranya dari sudut permulaan dan tidak boleh pada bahagiannya. Hal ini kerana dengan kemudaratan itu membawa erti menyertakan kerosakan kepada orang lain. Oleh itu, jumhur ulama’ menetapkan bahawa segala yang boleh memudaratkan kaum Muslim adalah wajib dijauhi. Selaras dengan kata-kata Imam al-Shatibi yang mengatakan bahawa sesungguhnya syariat itu diasaskan untuk membawa kemaslahatan kepada manusia.

3.4.1   Pecahan kaedah

Berdasarkan kaedah ini, terbahagi pula kepada beberapa bahagian dan cabang. Antaranya:

الضَّرُورِيَّاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورَةِ يُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا وَمِنْ فُرُوعِهِ

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً مِنْ الْأَوْلَى

  1. a)      الضَّرَرَ لَا يُزَالُ بِالضَّرَرِ  kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan.

 Kaedah ini bermaksud, biarpun kemudaratan itu mesti dihilangkan, namun bukanlah dengan cara menimbulkan bahaya seperti itu juga. Apatah lagi jika lahir bahaya yang lebih besar. Justeru, melalui kaedah ini, kemudaratan itu tidak boleh sama sekali dihilangkan dengan kemudaratan juga. Hal ini kerana seandainya ia diharuskan, sudah tentulah ia bertentangan dengan kaedah asas iaitu   (الضرر يزال) . Justeru, kaedah pecahan tersebut telah membataskan kaedah asas sebelumnya. Kerana jika semua itu berlaku, tidak ada makna, bahkan menambahkan masalah yang lebih besar. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

        Tidak boleh seseorang yang dalam kelaparan mengambil makanan orang lain yang juga akan mati kebuluran sekiranya makanannya diambil.

        Doktor tidak boleh mengambil darah seseorang untuk ditambah kepada pesakit yang memerlukan darah, jika darah yang diambil menyebabkan pula orang itu tenat atau membawa kepada kematian.

        Seseorang itu tidak boleh memotong jari tambahannya yang ada jika dibimbangi memudaratkannya.

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

  1. b)    (الضرر الأشد يزال بالضرار الأخف  ) kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih  ringan.

Kaedah ini mempunyai kaitan dengan kaedah yang sebelumnya yang mana membawa maksud apabila terdapat dua kemudaratan dalam satu masa secara serentak, penyelesaiannya adalah kemudaratan yang lebih berat seharusnya dihilangkan dengan dikerjakan kemudaratan yang lebih ringan. Dalam keadaan lain, kaedah ini bermaksud sekiranya terdapat dua kemudaratan, atau apabila bertentangan antara dua kemudaratan, hendaklah diperhatikan mana yang lebih besar bahaya. Iaitu dengan dilaksanakan yang lebih kecil bahayanya dan dihindarkan yang lebih besar kemudaratannya. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

        Adanya hukum hudud untuk membendung kemudaratan yang lebih besar.

    Membedah perut wanita yang mati dalam keadaan mengandung, jika dengan cara itu bayi dalam kandungannya itu dapat diselamatkan.

        Seseorang boleh mendiamkan diri dan mencegah di dalam hati sahaja sebarang kemungkaran yang berlaku, sekiranya jika ditegah secara terang-terang bimbang akan membahayakannya.

     Seseorang yang tiada pakaian menutup aurat untuk sembahyang, boleh sembahyang dengan pakaian sekadar yang termampu.

  1. c)     درء المفاسد مقدّم على جلب المصالح  menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kemaslahatan.

Kaedah ini memberi maksud, apabila bertembung antara perkara yang membawa kemaslahatan dan perkara yang membawa kepada kemudaratan, pelaksanaannya hendaklah diarahkan kepada mencegah kemudaratan. Oleh itu, usaha mencegah kerosakan lebih diutamakan daripada usaha untuk mendapat kebaikan yang sedikit. Hal ini kerana dibimbangi kerosakan tersebut akan merebak hinggalah menyebabkan lahirnya kemudaratan yang lebih besar. Firman Allah SWT :

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang arak dan judi.  Katakanlah : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.

Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

        Menghapuskan iklan rokok untuk mencegah tabiat merokok yang lebih besar bahayanya adalah lebih baik daripada mendapat bayaran iklan yang sedikit.

        Berbohong asalnya diharamkan, namun ia diharuskan jika untuk membawa kemaslahatan seperti mendamaikan dua pihak yang bertelagah.

        Menyedut air ke dalam hidung sunat pada asalnya, namun bagi orang yang berpuasa adalah makruh kerana dibimbangi akan terbatal puasanya.

  1. d)      يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام  Ditanggung kemudaratan berbentuk khas untuk menolak kemudaratan berbentuk am.

Kaedah ini ditinjau dari sudut keumuman pengkhususan kemudaratan dan bahaya. Berdasarkan kaedah ini, sesuatu masalah terpaksa dihadapi dengan mendatangkan sesuatu kemudaratan yang mana pada waktu itu hendaklah ditempuhi kemudaratan khusus bagi menghindarkan kemudaratan yang lebih umum. Hal ini kerana bahaya kemudaratan yang berbentuk khusus adalah kurang jika di bandingkan dengan kemudaratan yang berbentuk umum. Antara hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

        Ditegah doktor yang gila untuk mengubati pesakit dan hendaklah diletakkan di bawah kawalan dan penjagaan rapi.

        Harus menahan golongan-golongan tertentu yang terlibat dalam menyebarkan fitnah dan ajaran sesat.

         Harus menegah petani daripada menanam tanaman yang mempunyai unsur-unsur ganja dan candu serta yang boleh dijadikan bahan penyalahgunaan dadah, untuk memebendung bahaya dalam masyarakat.

  1. e)    الضرر يدفع بقدر الامكان Kemudaratan dibendung semungkin yang dapat.

Kaedah ini berasal daripada kaedah Usuliyyah yang berkaitan dengan skop kewajipan mencegah kemudaratan dan bahaya yang mana jika kemudaratan itu dapat dibendung seluruhnya, maka itulah yang terbaik. Namun, jika tidak termampu untuk berbuat demikian, maka lakukanlah sekadar yang termampu. Hal ini kerana taklif syarak itu dikenakan terhadap mukallaf adalah menurut kadar kemampuannya. Untuk itu, usaha untuk menyekat segala kemudaratan tersebut supaya tidak berlaku hendaklah diusahakan. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

        Usaha Abu Bakar al-Siddiq untuk mengumpul dan membukukan al-Quran supaya ia tidak hilang.

        Umar al-Khattab mengambil tindakan membakar kedai arak agar tidak timbul masalah yang lebih besar.

        Sekiranya mungkin dapat dicegah haiwan yang memekik atau berteriak dengan menggunakan suara atau sergahan, maka tidak perlulah menghindarkannya dengan tangan mahupun kayu.

  1. f)        الضرر لا يكون قديما Kemudaratan yang terjadi tidak boleh dianggap telah lama terjadi.

Syariat Islam tidak membezakan sedikit pun antara kemudaratan yang lama dengan yang baru sahaja berlaku, bahkan semuanya wajib di cegah dan dihilangkan. Justeru itulah kaedah ini merupakan kaedah pelengkap kepada kaedah asas yang sebelum ini. Selain itu, walaupun syariat memaafkan dan memberi kelonggaran terhadap berkekalan atau lama itu tidak ada sebarang kemudaratan padanya. Sebaliknya, jika terdapat padanya kemudaratan, walaupun ia telah lama berlaku, tetap wajib dihapuskan dan tidak ada beza dengan kemudaratan yang baru berlaku. Hukum-hukum furu’ yang lahir daripada kaedah ini ialah :

        Diharuskan melarang doktor yang berpenyakit sawan daripada merawat pesakit, walaupun doktor tersebut telah mempunyai pengalaman yang lama dalam merawat pesakit.

        Kiranya saluran longkang rumah seseorang itu mengalir di jalan umum dan mengganggu rang ramai, maka ia hendaklah dihapuskan walaupun telah lama berlaku.

Translate »